Friday, November 16, 2012

Kisah Khalid Al Walid dan Racun Ibnu Baqilah.

 
Khalid al walid

“Al-Rasub”
Salamun alaik,

Bila namanya disebut, gentar hati musuh. Seorang sahabat Rasulullah yang berjaya memimpin pasukan tentera mengalahkan tentera Parsi dan Rom. Gelaran Pedang Allah / Saifullah tidak membuatkan dirinya sombong. Bahkan beliau mengharapkan keredhaan Allah. Berperang kerana Allah bukan kerana arahan khalifah.

Beliau mendambakan mati syahid tetapi akhirnya beliau menemui Allah di atas katil. Semua ini ketentuan Allah. Hanya Allah yang mengetahui tempat dan waktu ajal kita.

Pernah suatu ketika, Khalid bin Al-Walid memerintahkan tenteranya mengepung benteng-benteng ini. Namun begitu, terdapat juga anggota tenteranya yang tidak sabar mahu menyerbu masuk bagi menamatkan pengepungan itu. Bagi mereka, penantian itu suatu penyeksaan.

“Tentera kita sudah berpengalaman menembusi benteng seperti ini. Mereka hanya menunggu perintah daripada panglima bagi membuat serbuan,” kata Yazid.

“Mereka yang berlindung di sebalik benteng itu kebanyakannya terdiri daripada wanita yang suaminya dibunuh dalam peperangan dan kanak-kanak yang kehilangan bapa. Tentera yang mempertahankan benteng itu kurang hebat kerana pahlawan yang terbaik sudah kita bunuh,” jelas Khalid bin Al-Walid.

“Cukup sekadar serang dari luar sahaja. Saya yakin tidak lama lagi mereka pasti kalah,” sambung Khalid lagi.



Beliau mahu tentera Islam sabar. Kejayaan pasti menjadi milik mereka, cuma kesabaran itu perlu disemai supaya tidak berlaku pertumpahan darah yang banyak, terutama sekali di kalangan wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak patut diperangi tetapi perlu dibantu.

Tentera Islam mematuhi arahan itu. Mereka menghujani benteng itu dengan anak panah, api dan batu yang dilontar dengan menggunakan pelantik. Ramai musuh yang terbunuh dan cedera akibat serangan itu. Ada juga sebahagian benteng yang mula pecah akibat hentaman batu yang dilemparkan oleh tentera Islam.

“Musuh yang mempertahankan benteng Benbaqilla mengibarkan bendera putih. Mereka mahu menyerah kalah,” kata Muthana bin Harith kepada Khalid bin al-Walid.

“Suruh mereka buka pintu bentang dan berjalan keluar tanpa memegang senjata. Pastikan itu bukan muslihat peperangan,” Khalid bin Al-Walid mengingatkan Muthana.



Dalam peperangan apa asahaja boleh berlaku. Mereka perlu bijak dan berwaspada selalu. Tidak lama kemudian, pintu benteng itu dibuka. Mereka yang berkubu di salamnya keluar sambil mengibarkan bendera putih dan mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Khalid menyuruh ketua mereka datang menghadap.



“Siapa nama saudara?” tanya Khalid. dia bertanya dengan penuh hormat walaupun dalam ketegasan.

“Nama saya Amru al-Masih, tetapi kaum saya memanggil dengan nama Ibnu Baqilah,” jawabnya.

“Berapa tahun umur saudara?” tanya Khalid al-Walid lagi.



Dia tidak faham kenapa insan tua seperti itu boleh terlibat dalam perang. Jawatannya sebagai ketua mendatangkan pertanyaan di mindanya dan menimbulkan rasa hairan di hatinya. Matanya masih tertancap pada insan yang sedang berdiri di hadapannya.

“100 tahun,” jawab Ibnu Baqillah.

Khalid tersentak sedikit tetapi dia pandai menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Mengapa saudara dilantik menjadi ketua dalam umur begini?” Akhirnya terkeluar juga persoalan yang berlegar-legar di mindanya.

Ibnu Baqillah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Memang dia sudah menjangkakan soalan itu pasti terbit dari bibir pahlawan yang digeruni ramai itu.

“Ini kerana saya lebih bijak daripada kaum saya,’ jawabnya tanpa ada perasaan megah. Dalam hatinya, dia baru sahaja berniat mahu berdamai dengan tentera Islam.

“Mengapa saudara membuat benteng?” tanya Khalid.

“Saya mengurung orang bodoh supaya dibuka oleh mereka yang cerdik,” Khalid tersenyum mendengar jawapan itu.

“Adakah saudara ingin menyerah diri atau berperang?” tanya ketua pahlawan Islam itu lagi.

“saya mahu menyerah diri,” katanya dengan yakin.

“Mengapa perlu berperang sekiranya sudah tahu kemenangan pasti menyebelahi pihak musuh? Langkah paling bujak adalah berdamai,” tambahnya lagi.

“Saudara mahu memeluk islam atau membayar jizyah?”

“Saya mahu membayar jizyah,” jawab Ibnu Baqillah.

“Saudara boleh hidup dengan aman dan berpegang kepada agama asal,” balas Khalid bin al-Walid lagi.



Tiba-tiba Khalid ternampak botol kecil trejatuh dari saku baju Ibnu Baqilah. Serentak dengan itu, dahinya berkerut sehingga keningnya hampir bercantum dua.



“Apa yang terkandung dalam botol itu?” tanya Khalid.

“Sejenis racun yang amat bisa. Sesiapa yang meminumya pasti mati serta merta,” jawab Ibnu Baqilah.

“Mengapa saudara bawa racun ini?” tanya Khalid al-Walid. Dia benar-benar hairan.

“Sekiranya dipenjarakan, saya mahu minum racun ini kerana saya lebih rela mati daripada dipenjarakan. Sekiranya tindakan saya berunding dengan saudara tidak dipersetujui oleh kaum saya, saya lebih rela mati daripada hidup dibenci oleh kaum sendiri,” Ibnu Baqilah memberitahu Khalid dengan jujur tanpa berselindung.



Khalid al-Walid mengambil racun itu lalu berkata dengan penuh yakin,”Racun ini tidak boleh membunuh orang selagi belum sampai ajalnya.”

Baginya, seseorang itu tidak akan mati tanpa izin dari Allah.

“Racun itu amat berbisa. Sesiapa sahaja yang meminumya boleh mati serta merta,” Ibnu Baqilah membantah kata-kata Khalid bin Al-Walid.

Beliau kelihatan yakin. Penutup botol dibuka. orang lain memandangnya dengan cemas.

“Jangan minum racun itu. Ia akan memudharatkan tuan,” Yazib cuba menghalangnya.

“Lebih baik buang sahaj racun itu,” kata Muthana.

Namun begitu Khalid tetap bertegas mahu meminumya.

“Saya mahu buktikan racun ini tidak memberi apa-apa kesan kepada diri saya dengan izin Allah,” ujar Khalid.

Kemudian Khalid berdoa yang membawa maksud,

“Dengan nama Allah yang sebaik-baik nama, Tuhan penguasa bumi dan langit yang dengan namanya racun ini tidak mendatang mudharat.”

Selepas membaca doa itu, Khalid mendekatkan botol beracun itu ke bibirnya.

“Jangan minum!” ada suara yang menjerit dnegan tindakannya.

Khalid terus meneguk racun itu dan menelannya.

Orang ramai terpegun. Masing-masing bingung dengan keberanian pahlawan Islam itu. Ibnu Baqilah adalah orang yang paling terkejut kerana Khalid mampu tersenyum dan berdiri selepas menelan racun itu.

“Mustahil tiada apa-apa berlaku selepas meminum racun itu,” bisik hatinya.

Mulutnya melopong kerana kehairanan.



“Saya sudah beritahu saudara yang racun itu tidak boleh memudharat sesiapa dengan izin Allah,” Khalid Al-Walid mengulangi kata-katanya.

Hebatnya keyakinan para sahabat. Mungkin kita tidak seyakin Khalid untuk bertindak sedemikian. Dengan tindakannya ini, ramai yang memeluk Islam. Subhanallah!

Khalid al-Walid juga seorang yang pandai mengatur strategi peperangan. Dalam peperangan melawan tentera Rom 240 000 tentera. Manakala tentera Islam seramai 40 000 orang sahaja. Jika dikira secara logik mustahil tentera Rom boleh kalah.

Antara rahsianya yang disebut oleh tentera Rom kepada Maharaja Hercules.

“Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa pada siang hari dan beraml ibadat pada waktu malam. Mereka berpegang teguh pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara sendiri. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran,” katanya dengan jujur.

“Tentera kita pula suka minum arak, melakukan zina, selalu mungkir janji, suka berbuat jahat dan melakukan kezaliman. Disebabkan itulah kita kalah,” tambahnya lagi walaupun suaranya ketakutan dihadapan maharajanya.

Pahlawan Khalid Al-Walid meninggal di atas katil, bukan di medan perang. Kerana beliau digelar Pedang Allah. Pedang Allah itu hebat, mana mungkin orang dapat menewaskan Pedang Allah di medan perang. Allah jua yang berkuasa menewaskannya di pembaringan. Subhanallah. Hikmah tentang kematian Saidina Khalid al-Walid itu adalah berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Sheikh Muhammad Idris al-Kandahlawi kepada Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah kerana Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah adalah berjalur keturunan sampai kepada Khalid al-Walid.

PERSOALANNYA.

Adakah kisah ini boleh dijadikan Hujah untuk beramal dengan berdoa dan membaca ayat alQuran lalu minta ilmu Kebal dan segala ilmu-ilmu kebatinan.  Atau adakah bukti yang kukuh untuk menjelaskannya kepada masyarakat yang bukan berinteraksi dalam dunia persilatan seperti kita ini.

Saya tanya anda jawab.

wallahualam.

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

www.khalifahgayong.wordpress.com




Dari :parang Pedang.... Terima kasih khalofah gayong...

2 comments:

♥ pEr!nDu sY@h!d ♥ said...

Assalamualaikum sahabat blogger...saya meminta izin menyalin artikel ini di blog saya bagi melengkapkan kisah kehidupan Saidina Khalid Al-Walid.... saya akan mbuat link ke pihak saudara... kalau sudi singgah lah ke blog saya yg sunyi sepi ini...he... blog saya amirazuwa.blogspot.com

skyredz_r34 said...

Jawapan dah ada dalam kisah yg diceritakan. Keyakinan para sahabat trhadap Pencipta yg Esa. Sesiapa yg mempelajari ilmu Al-Quran, harganya amat agung. Sesiapa yg mempelajari ilmu Fiqh, ukurannya ialah luhur, Sesiapa yg mempelajari ilmu hadis, maka hujahnya akan kuat, Sesiapa yg mempelajari ilmu hitung,tinggi pendapatannya, Sesiapa mempelajari ilmu pendekatan, lembut tabiatnya, dan barangsiapa tdk memuliakan dirinya, maka sebarang ILMUnya tdk bermanfaat. Solatlah..