Saturday, April 16, 2011

Dasar Anwar Ibrahim yang tidak mampu membayangi Tun Mahathir.

Tajuk yang diletakkan ini bukanlah bermaksud Parang Pedang ingin memuji individu yang dinyatakan, tetapi mempersoalkan sejauh manakah dasar pemikiran Anwar Ibrahim yang selama ini membayangi dasar pemikiran Tun Mahathir Mohamad selepas beberapa tahun dipimpin oleh Mantan Perdana Menteri tersebut selaku mentornya.

Kata orang jika mahu berguru biarlah sampai tamat, khuatir ilmu yang tidak tamat akan memakan diri. Begitulah jua jadinya dengan Anwar Ibrahim yang selama ini dibentuk dengan acuan Tun Mahathir sejak awal penglibatannya dalam UMNO sehinggalah saat kejatuhannya pada tahun 1998. Jika diimbas kisah lalu tentang perjalanan Anwar Ibrahim dalam dunia politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita dapat lihat bertapa banyak kontrovesi yang ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim sehingga pernah ditahan pihak berkuasa ketika bergelas siswa.

Tun Mahathir melihat pada awal penglibatan Anwar Ibrahim sebagai suatu kekuatan baru dalam arus poltik telah mengambil Anwar seperti anak beliau sendiri dan diberi didikan dalam pelbagai ilmu politik dan pentadbiran. Namun begitu setelah beberapa tahun berdiri dibelakang Tun Mahathir, beberapa kepincangan mula kelihatan dan ini amat mengecewakan Tun Mahathir selaku mentor kepada Anwar. Sehinggalah saat kemuncak kejatuhan Anwar secara total jelas menunjukkan apa yang diserapkan oleh Tun Mahathir ke dalam diri Anwar Ibrahim sebagai ganti diri beliau telah gagal. Walau apapun yang terjadi, kegagalan ini tidak boleh diletakkan diatas bahu Tun Mahathir kerana ia adalah kehendak Anwar sendiri yang mahu melakukan kaedah “try and error” (cuba dan salah). Tanpa memikirkan bahawa laluan yang dibawa oleh Tun Mahathir amat berisiko, Anwar telah menjatuhkan dirinya ke dalam jurang yang tidak mampu didaki semula.

Lalu bermulalah episod baru Anwar Ibrahim dalam dunia politik tanpa bimbingan seorang mentor sekaligus ia membuatkan bayangan Tun Mahathir dalam diri Anwar hilang begitu sahaja. Kini Anwar Ibrahim telah cuba membawa imejnya selaku pemimpin sebuah parti namun tidak mampu menyaingi pengaruh Tun Mahathir. Sifat egonya telah menutup pintu hati dari menghargai pengorbanan seorang mentor yang selama ini meletakkan kedudukannya hampir separas seorang pemimpin tertinggi dalam UMNO ketika itu. Bukan itu sahaja, Anwar Ibrahim nekad menentang mentornya dalam arena politik dan cuba membentuk ikon sendiri menerusi parti pembangkang.

Jelaslah perjuangannya bermotifkan dendam terhadap Tun Mahathir hinggakan sanggup memecah-belahkan sekelompok ahli UMNO untuk menyertai parti barunya. Bagai kacang yang melupakan kulit, serangan demi serangan telah dilancarkan oleh Anwar terhadap Tun Mahathir ekoran pemecatan terhadapnya dari jawatan TPM. Anwar sememangnya jauh tersimpang dari jalan asal matlamat ketika awal penyertaan ke dalam parti UMNO tidak seperti Musa Hitam yang akur pada kenyataan apabila jatuh dari kedudukan beliau.

Sememangnya hukum Tuhan tetap adil terhadap hamba-Nya apabila tembelang Anwar mula pecah dengan beberapa isu, ditambah pula kredibilitinya mulai hilang kerana ramai ahli yang menyertai PKR telah bertindak keluar parti dan mempetikaikan kemampuan Anwar dalam memimpin PKR. Jika dilihat pada aura Tun Mahathir, masih wujud kekuatan pengaruh beliau dalam meraih sokongan orang ramai sekalipun beliau tidak lagi menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri. Buktinya ialah kempen pilihanraya yang mana pengaruh penyokong Tun Mahathir kelihatan hangat disetiap tempat dilawati beliau.

Misi dan Visi Tun Mahathir ternyata banyak memberikan keuntungan kepada seluruh rakyat Malaysia berbanding apa yang dirancang oleh Anwar Ibrahim sejak penubuhan PKR telah mengecewakan pelbagai pihak kerana tiada hasil. Kita seharusnya melihat sesuatu secara rasional sebelum memberikan sebarang kritikan terutama sekali dalam soal sokongan terhadap mana-mana pemimpin. Banyak perbezaan diantara kedua-dua pemimpin parti ini walaupun pernah berdiri diatas platform sama terutamanya dari segi kekuatan pengaruh dan daya kepimpinan. Apa pun, hanya rakyat sahaja yang mampu menilai perbezaan kedua-dua tokoh ini. Lihat, fikir dan buat penilaian sebelum memberikan keputusan.

No comments: