12 Julai 2012, Jam 4 pagi loceng jam berbunyi menandakan diri harus bangun bagi memulakan satu misi. Meziarahi keluarga seorang sahabat yang terletak didaerah bachok, Kelantan Darul Naim.
Perjalanan yang mengambil masa sekitar 6 jam lebih, bersama seorang sahabat baik yang berasal dari sana. Selain niat untuk menziarahi keluarga sahabat, Parang Pedang sendiri ingin mengetahui situasi rakyat di Kelantan secara live. Kebetulan pula inilah kali pertama menjejaki ke negeri tersebut buat pertama kali dalam hidup selama ini.
Tibanya disana sekitar jam sebelas lebih setelah berhenti sebentar di puncak titiwangsa untuk mengambil udara segar dan bergambar kenangan. Sebelum ini, Parang Pedang pernah menjejaki puncak Titiwangsa yang di Brinchang atas misi menyelamat seorang sahabat yang hilang semasa jungle tracking.
Perjalanan diteruskan sehingga Prang Pedang tiba di Jeli. Terasa lapar kerana belum bersarapan lagi setelah menempuh perjalanan yang panjang. Pengalaman makan nasi berlauk yang menjadi makanan rutin masyarakat disana disimpan dalam ingatan sebagai kenangan.
Dilihat keadaan di Kelantan sangat unik kerana pelbagai masyarakat dari kaum bukan bumiputera mampu berkomunikasi seperti masyarakat bumiputera disana. Pergaulan antara mereka cukup akrab bahkan sesama masyarakat siam juga mereka boleh bergaul. Pelbagai proses pembangunan negeri juga dilihat. Pusat pendidikan formal peringkat tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan ,IPT lain kelihatan sepanjang perjalanan ini.
Yang menjadi keistimewaan Kelantan ialah ekonominya yang dikuasai oleh majoriti bumiputera disamping penerapan ciri-ciri keIslaman dalam sosio budaya mereka. Ini terbukti dengan pelbagai papan tanda kalimah tasbih, tahlil, tahmid dan takbir serta rekabentuk bangunan yang menunjukkan kebudayaan Islam.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang bagi Parang Pedang sekitar waktu disana. Terdapat kelemahan dalam sistem pentadbirannya apabila jalan yang dilalui sepanjang ke sana tidak diperbaiki kerosakannya. Banyak lopak ditengah jalan menuju ke Kota Bahru dan Bachok. Itu dilaluan yang digunakan oleh Parang Pedang, bagaimana pula laluan lain?
Perjalanan diteruskan kerana destinasi masih belum tiba. Sepanjang jalan ke tempat yang dituju, kelihatan pelbagai gerai dibuka sama ada bagi jualan makanan dan minuman mahu pun buah buahan... Parang Pedang singgah sebentar di Bukit Bunga meninjau perniagaan masyarakat Siam yang berniaga pelbagai produk Thailand. Sememangnya sempada Thailand - Malaysia tidak jauh dari sini maka tidak hairanlah bagi Parang Pedang untuk membeli barangan dari Negara Gajah Putih ni.
Parang Pedang singgah sebentar ke Kota Bharu bagi beberapa urusan kerja bersama sahabat. Meninjau Pasar Siti Khadijah yang cukup terkenal dengan pelbagai produk buatan masyarakat Kelantan. Memang seronok berada disana kerana terdapat pelbagai produk yang Parang Pedang susah nak lihat di negeri lain.
Sambil bersiar-siar di sekitar Kota Bahru, sahabat Parang Pedang menunjukkan kepada sebuah bangunan yang Parang Pedang sangat kenal. Bukan kerana sejarahnya, tetapi ekoran suatu kontroversi yang pernah berlaku diantara pihak pentadbiran PAS dengan peniaga kecil. Itulah Kompleks Bazar Tok Guru. Melihat pada struktur bangunannya memang kelihatan besar dan sesuai untuk berniaga, tetapi jika pembaca sekalian masuk ke dalamnya sangat tidak selesa dengan ruang niaga yang sempit hingga terasa lemas berada didalam bangunan tersebut.
Selesai sahaja urusan di Kota Bahru, kami teruskan agenda kami untuk bertemu ahli keluarga sahabat. Jalan di Kota Bahru agak sesak dan penuh kenderaan. Mungkin bagi yang sudah biasa dengan keadaan ini tidak akan merasakannya. Tidak bagi Parang Pedang kerana perancangan kawasan perlu bagi mengatasi masalah ini memandangkan Kelantan mempunyai tarikan tersendiri, perancangan semula bandar perlu ekoran pertambahan perlancong dalam dan luar negara.
Sememangnya ada diletakkan sebuah papan tanda projek pembinaan Lebuhraya Machang - Kuala Krai, tetapi sejauh mana keberkesanan lebuhraya tersebut mengatasi masalah lalu lintas di Kelantan masih belum diketahui. Yang Parang Pedang pasti ialah terdapat suara-suara pejuang didengari Parang Pedang yang telah menyuarakan cadangan selari dengan hasrat kerajaan pusat dalam soal pembangunan Kelantan.
Setibanya dirumah ahli keluarga sahabat, Parang Pedang disambut dengan mesra oleh keluarga beliau. Apa yang Parang Pedang difahamkan, keluarga sahabat adalah pendokong kuat Parti Islam Semalaysia dan sangat aktif bersama dengan keluarga tersebut. Atas sebab ukhwah dan silaturrahim, Parang Pedang menolak perbezaan politik dengan keluarga tersebut. Diruang tamu, tergantung sebuah potrait yang sangat dikenali dalam dunia politik Malaysia iaitu Nik Aziz Nik Mat.
Termenung juga Parang Pedang mengapa harus diletakkan potrait tersebut. Tahulah Parang Pedang seperti apa yang dikatakan oleh keluarga berkenaan bahawa mereka memuliakan ulama merangkap mursyidul am Kelantan (Parang Pedang perlu tanya hukum menggantung gambar kepada yang lebih arif dan akan dimuatkan dalam blog ini nanti).
Tidak dinafikan bahawa dari sudut keagamaan, orang Kelantan sangat menitikberatkan soal hukum hakam agama tidak kira PAS mahupun UMNO. Atas sebab inilah Kelantan dipanggil serambi Mekah. Cuma yang sangat mengecewakan Parang Pedang ialah sikap fanatik PAS yang tidak mahu bertoleransi dan berlembut bila hal percangahan berlaku hingga mudah menjatuhkan hukum orang sebagai kafir.
Alhamdulillah, dengan keluarga sahabat Parang Pedang ni nampaknya baik belaka. Akantetapi satu masalah yang selama ini telah lama dibangkitkan oleh kerajaan pusat dan penduduk tempatan Kelantan dirasai sendiri oleh Parang Pedang.
Sewaktu hendak mandi danmenggunakan air paip dirumah keluarga sahabat, air yang dibuka keluar sangat perlahan dan berbau karat. Selama ini Parang Pedang menyangka ia suatu tuduhan dan gurauan. Ternyata ia benar-benar terjadi. Sebagai tanda menghormati keluarga sahabat, perkara itu didiamkan sahaja. Bertapa sabarnya warga Kelantan mengharungi masalah ini, suatu tindakan perlu diambil bagi menyelesaikan masalah. Semoga ia akan berakhir suatu hari nanti selepas kerajaan pusat datang membantu membetulkan segala-galanya.
Selama berada disana, Parang Pedang telah mempelajari banyak perkara tentang geografi dan sosio budaya Kelantan. Setiap detik disana tidak akan Parang Pedang lepaskan peluang menimba pengalaman.
Sepanjang perjalanan pulang semula ke Bumi Bertuah, Negeri Perak Darul Ridzuan, kelihatan bendera BN dan UMNO berkibar di tiang dan dipacakkan diatas tanah. parang Pedang rasa terharu melihat suasana disini, bertapa masih ada pejuang bangsa dan agama di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini terutamanya ketika mula-mula masuk ke sempadan kelantan iaitu Jeli yang sememangnya kawasan taklukan BN.
Semoga Allah memberikan kemenangan buat BN di Kelantan dan memulihkan kelemahan yang wujud disana. insyaallah.
No comments:
Post a Comment