Hari ini bahang pilihan raya telah terasa dikalangan ahli politik. Suasana resah mula kelihatan dan wajah masing-masing menampakkan riak cemas. Ada yang mula merangka strategi untuk membentuk jentera pilihanraya dengan pelbagai cara seperti menubuhkan unit gerak kerja khas, flying squad, unit media baru dan macam-macam cara lagi.
Tidak kurang juga yang menggunakan kaedah kuno iaitu perkhidmatan nujum atau bomoh. Maka ramailah yang mendakwa diri mereka sebagai dukun, bomoh, pawang mahupun nujum ramalan. Wujud juga nujum pak belalang yang menipu wakil rakyat yang taksub pada amalan kebatinan ini.
Disebelah pihak wakil rakyat pula, mereka tiada masalah dengan soal kewangan asalkan dileher, dipinggang atau dipergelangan tangan terikat dengan tangkal azimat disamping hafalan mentera yang diajar oleh pengamal kebatinan tersebut.
Parang Pedang sendiri selaku pengamal ilmu kebatinan tahu serba sedikit hafalan bagi mempengaruhi pendengar ceramah. Tidak mustahil untuk para wakil rakyat mendapatkan khidmat golongan ini kerana mahukan agar suara mereka didengari.
Tidak kira sama ada wakil rakyat tersebut dari parti islam mahupun bukan, amalan menggunakan khidmat bomoh ini tidak dapat dielakkan. Namun begitu, sikap terlalu taksub kepada bomoh dan tangkal boleh menjerumus ke arah syirik. Apa yang ingin Parang Pedang tekankan disini ialah tidak semua amalan perbomohan terutama sekali tidak berlandaskan hukum syarak akan berhasil.
Satu cara yang betul-betul boleh mempengaruhi rakyat ialah dengan bersikap mesra serta prihatin dengan nasib masyarakat yang dipimpin. Dengan itu sahaja hati pengundi dapat ditambat. Bukan dengan amalan perbomohan semata-mata. Awas, jangan sampai terpedaya dengan bomoh palsu atau lebih dikenali sebagai nujum pak belalang.
Selamat bertanding dalam pilihanraya buat para YB....
No comments:
Post a Comment