Mungkin perkara ini telah dibangkitkan dahulu, tetapi seeloknya biarlah Parang Pedang mengingatkan sekali lagi sebagai satu nasihat dan sedikit panduan.
Pertama sekali panduan ini ditujukan kepada mereka yang mendiami tanah lot yang luas halamannya. Tidak lupa juga kepada mereka yang mendiami rumah teres. Walaupun dua situasi berbeza tetapi matlamatnya tetap sama iaitu mewujudkan amalan pertanian dirumah sendiri.
Parang Pedang tidak maksudkan tanam kekal sebaliknya hanya tanaman kontan. Sayuran dan buah-buahan adalah sasaran utama tajuk ini dimana kedua-duanya mudah ditanam tanpa memerlukan kawasan yang luas.
Bagi kawasan rumah lot, menanam produk pertanian amat sesuai dan boleh dilakukan semaksima mungkin kawasan lapang. Pelbagai jenis tanaman boleh diusahakan bagi menampung keperluan diri dan keluarga. Kos perbelanjaan sara hidup akan dapat dikurangkan dan wang sedia ada boleh digunakan bagi keperluan lain atau dijadikan wang simpanan.
Bagaimana pula dengan andan yang tinggal di rumah teres tanpa halaman yang luas? Mungkin sukar untuk melakukan aktiviti pertanian, tetapi tidak mustahil kerana kaedah menggunakan pasu bunga untuk menanam sayuran dedaun atau sayuran buah boleh digunakan.
Walaupun ia menjimatkan beberapa sen sahaja tetapi amat berbaloi kerana selain dijadikan sebagai sumber sampingan, ia juga boleh dijadikan hobi masa lapang dan aktiviti riadah.
Setakat ini Parang Pedang sudah melakukan aktiviti pertanian mini di halaman rumah sendiri. Pelbagai tanaman seperti pisang sehinggalah kepada tanaman cili ditanam. Jika diikutkan, banyak masa lapang dapat dihabiskan dengan penuh manfaat.
Oleh demikian, Parang Pedang menyeru rakan pembaca blog ini agar mula bertani dihalaman rumah sendiri. Cuma ingat satu sahaja nasihat Parang Pedang, tanam sendiri sayuran dan buah-buahan maka anda akan lebih menghargai hasilnya.
No comments:
Post a Comment