Saturday, February 4, 2012

PEJUANG SIBER BLOGGER PCT....  WIRA TAK DIDENDANG

Lapar, miskin, mengemis meminta belas sudah lumrah pejuang. Tidak terkecuali para pejuang cyber. Itulah hakikatnya yang perlu semua orang tahu. Bukan miskin yang kami pilih, bukan lapar yang diminta dan tidak pula sengaja meminta ihsan dari orang ramai. Tetapi fahamilah kehendak pejuang cyber yang mahu melihat negara sentiasa aman dari anasir pembangkang. Berikan sokongan padu untuk terus bersama Barisan Basional. Kami tidak akan berhenti hingga saat hembusan nafas yang terakhir.

Sengaja Parang Pedang memilih tajuk ini untuk memperingati detik blog Parang Pedang ini wujud. Bermula dari saat perjumpaan dengan ketua cawangan kawasan sendiri selepas kekalahan pada pilihanraya lalu mewujudkan sebutir pandangan kepada pemimpin akar tentang niat untuk berjuang dalam dunia siber. Restu diberi oleh sang pemimpin menambahkan lagi azam untuk menjawat diri sebagai wira maya. Berbekal sebuah laptop dengan nama blogger UMNORS ( UMNO RAPAT SETIA) , sedikit informasi menjadikan penulisan pertama diri ini sebagai sumber inspirasi. UMNORS pada ketika itu bagai kapal tak bernakhoda merentangi arus lautan politik hingga kadangkala terhempas dipukul badai pembangkang. Nak diadu tidak pula ada kapal terdekat.

Hinggalah satu saat ketika UMNORS menerima salam silaturrahim daripada seorang nakhoda terbilang iaitu blogger Sekupang Dua. Banyak yang dipelajari dari beliau hingga UMNORS yang kian karam bangkit semula menerjah ombak. Atas nasihat Sekupang Dua, UMNORS diberi jenama baru iaitu Parang Pedang.

Bermulalah detik perjuangan Parang Pedang sehinggalah kini bersama angkatan PCT ( Perak Cyber Troopers) dipimpin oleh Sekupang Dua dan saf pejuang.

Suka duka dihadapi oleh Angkatan PCT menjadikan hati pejuang maya lebih tabah. Pernah suatu ketika Parang Pedang mengikat perut kelaparan tatkala mahu menulis artikel membela nasib penjawat awam yang perlukan bantuan di kafe siber. Apakah berbaloi mengikat perut semata-mata mahu menulis artikel di kafe siber? Bagi Parang Pedang, itu tidak penting kerana suara rakyat lebih diutamakan. Angkatan PCT dihina dicerca oleh sekelompok manusia hanya kerana mempertahankan yang hak. Bahkan ada Angkatan PCT yang dianiaya oleh yang iri pada semangat perjuangan wira maya ini. Itulah hakikatnya wira yang tidak didendang ini. Bagai pengemis jalanan yang boleh ditendang sesuka hati.

Pejuang siber tahu, mereka tidaklah sehebat wira diperbatasan, tidak sehandal pendekar digelanggang. Tetapi mereka tahu dimana ceruk musuh siber bersembunyi untuk diacukan serangan. Hasilnya, hujah dan dakyah pihak lawan dapat dipatahkan lalu terjagalah keamanan dunia politik siber dari anasir pembangkang.

Begitu banyak detik pahit manis selama bergelar Parang Pedang. Syukur ke hadrat Ilahi, jiwa ini masih utuh memegang mata pena dan sedikit pengetahuan teknologi untuk menikam dan menghalang anasir jahat pihak musuh.

Apa yang pasti, perjuangan bersama sahabat seangkatan tidak akan berhenti selagi nyawa dikandung badan. Semoga akan datanglah pewarisnya untuk terus menyambung perjuangan suci ini suatu hari nanti.

(parang pedang bukanlah seorang yang hidup mewah seperti yang pembangkang fikirkan, jika mereka tidur dikatil empuk, Parang Pedang hanya berselimutkan cadar tebal beralaskan permaidani nipis)

Terima kasih khasnya buat Sekupang Dua. Blogger yang paling hebat dalam dunia pejuang cyber. Tidak lupa juga pada 'blogger mentor' dan awekz bukit gantang.....

No comments: